KUALA LUMPUR 13 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kepada Kerajaan Perpaduan adalah atas pilihan peribadi.
Ahmad Zahid menegaskan tiada perjumpaan atau panggilan telefon daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada pemimpin tersebut.
“Kabinet telah dimaklumkan pagi tadi bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun telefon atau bertemu dengan Perdana Menteri atau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan tanpa beliau keluar daripada partinya.
Perkara ini atas peribadi beliau sendiri,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen pada Jumaat.
Semalam Iskandar Dzulkarnain dari Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Berikutan itu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin hari ini mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.
Iskandar Dzulkarnain semalam menjelaskan keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup di kawasannya.
Mengulas isu ini, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata beliau tidak pasti kesan kepada pengisytiharan itu kerana Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 sudah berkuat kuasa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata status Ahli Parlimen Kuala Kangsar patut dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Saarani berkata, tiada salah jika sokongan yang dimaksudkan oleh Iskandar Dzulkarnain itu sekadar menyokong sesuatu rang undang-undang (RUU) di Dewan Rakyat.
Apabila tiba masanya untuk membuat keputusan yang memerlukan sokongan dua per tiga ahli Dewan untuk meluluskan sesuatu RUU, jadi saya fikir ia tidak akan terkesan dengan larangan bertukar parti sebab ia bukan lompat parti.
“Dia bebas untuk menyokong mana-mana RUU. Mungkin dia nak minta peruntukan daripada perdana menteri. Mungkin, kita tidak tahu. Dia mesti ada sebab tersendiri mengapa dia membuat pengumuman sebegitu,” katanya.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama 14 parti politik termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai 147 Ahli Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi, kurang satu kerusi untuk menjadi majoriti dua pertiga, sebanyak 148 kerusi.
