Kemudahan asas mampu tarik pelabur

SEPANG 6 Okt. – Kelantan boleh menarik kemasukan pelabur jika negeri itu mampu menyediakan kemudahan asas seperti sistem jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kelantan juga mampu membekalkan tenaga kerja apabila industri dibuka kerana ramai orang Kelantan berhijrah ke Lembah Klang untuk bekerja dalam pelbagai industri.

“Kelantan adalah negeri orang berniaga. Rata-rata penduduk terbabit dalam aktiviti perniagaan dan kebanyakannya ialah industri kecil-kecilan.

Tidak banyak industri kilang dari luar negara bertapak di sini, kecuali syarikat ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd dari Jepun yang asalnya di Selangor tetapi memilih berpindah dan buka kilang di Kota Bharu pada 1989,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam Dr Mahathir  dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berbincang untuk meningkat pelaburan, penggunaan tanah sebagai modal dan penyelesaian isu bekalan air bersih di Kelantan.

Dr Mahathir bertemu dan berbincang mengenai pembangunan negeri dengan Menteri Besar Kelantan dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena program State Government 4 (SG4) di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

Beliau berkata, orang Kelantan juga sinonim dengan berniaga dan mereka cekap dalam peluang perniagaan serta sanggup ambil risiko.

“Insya-Allah negeri ini akan makmur dan berjaya jika sumber negeri dan kebolehan rakyatnya diperkenal dengan baik,” katanya.

Dalam kunjungan ke Kelantan, Dr Mahathir selepas mesyuarat singgah di restoran nasi berlauk Kak Chik yang berasal dari Tumpat untuk melihat lebih dekat proses pembuatan makanan ini hinggalah pembungkusan dan penghantaran.

“Tukang masak beritahu mereka mula memasak seawal jam 3 pagi. Makanan yang dimasak tadi dibuat hingga 10,000 bungkus sehari. Ia dijual di kedai ini dan ada yang dibungkus dan dihantar dengan kapal terbang atau kereta ke negeri Lembah Klang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment