Nilai, Bukit Rambai tidak sihat

SEPANG 6 Okt. – Dua stesen udara di Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 9 pagi ini.

Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai, merekodkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi iaitu 151 manakala Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan 112.

Sementara itu, 55 stesen di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana termasuk Kemaman di Terengganu dengan bacaan 71, Seri Manjung, Perak (54), Jerantut, Pahang (69), Kluang, Johor (72), Port Dickson, Negeri Sembilan ( 93), Kuching, Sarawak (79) dan Keningau, Sabah (61).

Selain itu, data sama turut menunjukkan sebanyak 11 kawasan di lima negeri merekodkan tahap IPU yang baik, antaranya Langkawi di Kedah merekodkan bacaan 18, Minden, Pulau Pinang (27), Besut, Terengganu (36), Kota Bharu, Kelantan (47) dan Taiping, Perak (36).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Related posts

Leave a Comment