MAIS tarik tauliah Abdullah Khairi

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada pendakwah, Ustaz Abdullah Khairi, berkuat kuasa pada 27 September lalu.

Abdullah Khairi Haroon, mendedahkan perkara berkenaan menerusi perkongsian di media sosialnya, hari ini.

“Hampa ingat mulut aku ni hampa boleh tutup! Hampa silap… walaupun geng hampa suka la!!!! Aku ikut hampa! Tauliah dari 2013 hampa tak kacau pun! Bila aku tak ngam dengan hampa teruih tarik balik ! Bangga la geng hampa!!!” tulisnya.

Dalam hantaran itu, pendakwah berkenaan berkongsi surat yang diterimanya daripada MAIS yang memaklumkan perkara terbabit bertarikh 3 Oktober lalu.

Berdasarkan surat itu, penarikan balik tauliah mengajar beliau di Selangor diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang pada 27 September lalu.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan alasan tempoh tauliah mengajar beliau yang masih berbaki sehingga 31 Disember 2024 itu, ditarik balik.

Surat itu ada menjelaskan bahawa beliau boleh membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS kepada MAIS dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.

Beliau diminta menyerahkan Kad Identiti Tauliah kepada Pejabat Agama Islami Daerah (PAID) atau Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islami Selangor dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat itu.

Abdullah Khairi diingatkan beliau boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 jika masih mengadakan ceramah yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dianya.

Related posts

Leave a Comment