Jerebu: Malaysia hantar surat ke Indonesia

KUALA LUMPUR 4 Okt. –  Malaysia mengambil tindakan susulan dengan menghantar surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa negeri, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, surat itu sudah dihantar kepada rakan sejawatnya di Indonesia berikutan arahan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim supaya pihaknya menyelaras dengan rakan sejawat dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

“Kita sudahpun menghantar surat kepada menteri sejawat saya mengenai masalah itu seperti disebut Perdana Menteri semalam. Justeru, kita sudah susulinya dengan surat kepada beliau,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Nik Nazmi supaya menyelaras dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Setakat pagi tadi, kualiti udara di Sri Aman berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 108.

Sebelum ini, Indonesia menafikan dakwaan jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.

Bagaimanapun , Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak, dalam tempoh 20 hingga 28 September lalu, membuktikan keadaan jerebu di Sarawak kini berpunca dari negara jiran.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, semua negara ASEAN termasuk Indonesia sudah meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, sebelum ini.

Dalam pada itu, Malaysia menubuhkan panel penasihat dan perundingan untuk mendapatkan maklum balas mengenai suara negara dalam aspek perubahan iklim untuk dibawa ke konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (COP28), di Dubai, November ini.

“Kita juga melancarkan Pavilion COP28 untuk kita pamerkan segala yang Malaysia lakukan dalam menangani perubahan iklim.

“Selain itu, pandangan dari syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan kerajaan, pihak akademik, badan bukan kerajaan dan anak muda melalui panel penasihat dan perundingan turut kita masukkan dalam pavilion ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment