KOTA KINABALU 5 Okt. – Kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan harga beras putih import (BPI) di pedalaman Sabah dan Sarawak tidak terlalu tinggi disebabkan kos pengangkutan, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan harga di kawasan pedalaman dijangka masih tinggi walaupun kerajaan memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram, mulai esok.
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan negeri mengenai langkah boleh diambil bagi memastikan harga BPI di kawasan pedalaman kedua-dua negeri tidak membebankan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengumumkan pemberian subsidi RM950 bagi satu tan BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya kepada RM31 berkuat kuasa esok.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, pemberian subsidi untuk BPI di Sabah dan Sarawak adalah bagi menurunkan harganya selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri yang terbeban dengan kenaikan BPI baru-baru ini.
Katanya, langkah sementara itu juga mengambil kira peratus pengeluaran beras tempatan di Sabah yang kini hanya kira-kira 25 peratus menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.
“Harga beras import ini seperti mana disinggung Presiden Jokowi tiga hari lalu akibat daripada keputusan 18 negara menyekat eksport atau mengurangkan eksport, maka harga beras melambung naik.
“Tentunya kesan sama di Malaysia, tapi kita tahu apa yang dihadapi rakyat…maka Isnin lalu kita panggil menteri dan beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendengar pandangan (dan) kita putuskan supaya langkah sementara yang dipanggil melalui subsidi kerajaan,” katanya.
Anwar berkata, subsidi makanan tinggi, di mana subsidi ayam dan telur sehingga 30 September lalu saja mencecah RM3.8 bilion.
Katanya , kerajaan memilih untuk mengumumkan pemberian subsidi bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan harga beras yang tinggi.
Beliau dimaklumkan oleh kerajaan negeri dan pegawai bahawa di sesetengah tempat harga beras import di Sabah RM45, RM41 dan ada RM39.
“Maka Isnin lalu kita umumkan untuk mengurangkan tekanan rakan-rakan Sabah dan Sarawak dengan menurunkan harga beras import daripada RM45 kepada RM31,” katanya.
