KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mengemukakan suatu pelan komprehensif dalam mengatasi masalah bekalan beras tempatan serta untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa mempunyai makanan di atas meja.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat dan menyeluruh bagi memastikan tidak ada pihak memanipulasi rantaian bekalan beras tempatan, menambah stockpile beras negara dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara.
Katanya , tindakan secara ad-hoc seperti yang diambil pada masa ini tidak memadai untuk menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi dan boleh dibeli pada harga yang berpatutan oleh rakyat.
Menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu berkata tindakan segera perlu diambil bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan isu kekurangan beras yang kian berlarutan.
“Isu kekurangan beras putih tempatan nampaknya masih belum selesai walaupun telah berlarutan agak lama. Rakyat masih merungut tentang kesukaran untuk membeli beras tempatan di kedai-kedai runcit dan pasar raya.
Oleh kerana beras tempatan sukar diperoleh di pasaran, ramai yang beratur panjang untuk membeli beras di lokasi-lokasi jualan yang diusahakan oleh FAMA.
‘Keadaan ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Perkembangan ini amat membimbangkan kita memandangkan beras adalah makanan ruji rakyat,” katanya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih, 2018-2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan Malaysia memerlukan 2.68 juta tan beras setahun.
“Daripada jumlah ini, 1.11 juta tan adalah beras yang diimport. Ini bermakna, sekitar 40% bekalan beras di negara kita bergantung kepada import beras dari negara-negara pengeluar beras seperti Thailand, Vietnam, Pakistan dan India.
Bekalan beras menjadi lebih meruncing apabila negara pengeluar mengenakan sekatan eksport beras, seperti India yang menyekat eksport beras putih kerana negara itu sendiri sedang menghadapi krisis bekalan beras.
“Ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada risiko kekurangan bekalan beras dan ketidakstabilan harga p yang disebabkan sama ada oleh kekurangan bekalan beras dunia atau kadar pertukaran wang asing yang berubah-ubah,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan apabila pengeluaran beras tempatan semakin merosot daripada 1.68 juta tan kepada 1.57 juta tan pada tahun 2022.
“Kerajaan mesti memandang serius masalah ini. Ia mungkin permulaan kepada suatu krisis yang lebih besar pada masa hadapan. Perubahan iklim dunia menyebabkan kemarau dan banjir di banyak negara yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan termasuk beras.
“Kekurangan pengeluaran bahan makanan di negara-negara yang terjejas dengan perubahan iklim akan menjejaskan bekalan makanan di negara kita,” katanya.
