Protes penduduk di Batam

JAKARTA 13 Sept. – Polis Indonesia menahan 43 individu yang disyaki merusuh dan menyerang polis ketika protes terhadap rancangan penempatan semula komuniti di sini, bagi pelaksanaan projek taman perindustrian bernilai berbilion dolar.

Keganasan berlaku di Pulau Rempang, kira-kira 44 kilometer dari Singapura, semalam, apabila kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan pejabat BP Batam, salah satu pemaju yang membangunkan Rempang Eco City.

Rakaman video media tempatan menunjukkan penunjuk perasaan membaling botol dan batu ke arah polis serta merobohkan pagar sebelum mereka bertindak balas dengan meriam air dan gas pemedih mata.

Rempang Eco City akan menjadi pusat kepada kilang pengeluar kaca, Xinyi Glass Holdings Ltd, milik China yang komited untuk membina kilang pemprosesan pasir kuarza bernilai AS$11.5 bilion di taman itu.

Menurut jurucakap polis Pulau Riau, Pandra Arsyad, pihaknya menahan mereka kerana vandalisme dan serangan terhadap anggota polis. Penunjuk perasaan bagaimanapun bersurai menjelang petang.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata kerajaan bercadang menyediakan tanah dan rumah kepada setiap penduduk sebagai pampasan kerana berpindah.

“Tetapi langkah itu tidak dimaklumkan kepada rakyat. Jadi, ia menjadi masalah,” katanya merujuk kepada bantahan berkenaan.

Jurucakap BP Batam Ariastuty Sirait, pula berkata, penduduk enggan berpindah selepas menetap di tanah itu selama bertahun-tahun.

Kira-kira 700 keluarga akan dipindahkan pada peringkat pertama dan mereka akan menerima bantuan tunai sehingga penempatan baharu siap.

Related posts

Leave a Comment