Cermin diri sebelum desak kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada keperluan untuk beliau mengosongkan kerusi Muar berikutan keputusannya meninggalkan blok kerajaan berkuat kuasa serta merta.

Sebaliknya, beliau mencabar pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini mahu melawan rasuah tetapi “membenarkan” keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO,Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan berkait kes Yayasan Akalbudi, berbuat demikian.

Katanya, pihak yang mendesak beliau mengosongkan kerusi, perlu cermin diri sama ada mereka juga bersedia mengosongkan kerusi.

“Persoalan yang ingin saya kembalikan kepada mereka, siapa yang tidak konsisten, siapa yang mengkhianati rakyat,” katanya pada sesi soal jawab melalui media sosial malam ini berikutan pengumuman meninggalkan blok kerajaan.

Beliau mengulas desakan segelintir pihak yang mahu beliau mengosongkan kerusi tunggal MUDA di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, bukan beliau yang mengkhianati janji kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa reforms (pembaharuan). Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi,” katanya

Syed Sadiq berkata PH sebelum ini berikrar mahu mengheret Ahmad Zahid ke muka pengadilan kerana dakwaan rasuah, namun kini menarik balik pertuduhan manakala reformasi yang dijanjikan telah “dibatu-nisankan”.

“Jikalau saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut. Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu hari ini secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Beliau berkata, ia sebagai protes terhadap keputusan Ahmad Zahid, sambil menyifatkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Mengenai masa depan MUDA selepas menjadi pembangkang kuasa ketiga, beliau percaya pembaharuan sistem politik tidak ada jalan singkat dan mengakui ia “akan memakan masa lama”.

“Pembaharuan itu akan memakan masa untuk kita membawa politik baharu… untuk kita rombak sistem politik negara ke jalan lebih baik ia akan memakan masa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment