BAGAN DATUK 10 Sept. – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadirannya pada Persidangan Tahunan DAP 2023 adalah bertujuan menyantuni rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, keberadaan di perhimpunan parti yang dahulunya seteru itu juga sebagai tanda penghargaan atas kehadiran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika Perhimpunan Agung UMNO pada Jun lalu.
Justeru, beliau berharap kehadirannya tidak disalah erti dan dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Kita kini berada dalam satu gagasan parti gabungan. Orang berbudi, kita berbahasa.
Ini pertama kali dalam sejarah seumur hidup saya menghadiri mana-mana perhimpunan agung parti berkenaan, namun sambutan dengan tepukan bergemuruh secara penuh ikhlas mengejutkan saya.
“Saya harap tidak ada interpretasi pelbagai, sebab sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya dalam Kerajaan Perpaduan dalam kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, landskap politik sudah berubah,” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Next Leaders di Dewan Datuk Lop Hashim, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Penasihat Malaysia Next Leaders, Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata UMNO menghormati parti gabungan dalam kerajaan terutama dari segi prinsip yang sudah dinyatakan oleh kepemimpinan DAP berkaitan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Itulah komitmen yang mereka perlihatkan dan tadi pun Anthony Loke ulang dalam ucapan dasarnya.
“Saya harap ini tidak akan mengelirukan masyarakat Islam dan orang Melayu. Saya fikir jangan ada manipulasi oleh mereka kata UMDAP (UMNO – DAP) dan sebagainya. Itu adalah propaganda politik.
“Tapi kita lihat keberhasilannya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan di Simpang Jeram, kombinasi pengundi pelbagai kaum memenangkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
