Kepercayaan rakyat tercalar

KUALA LUMPUR 5 Sept. –  Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan penarikan 47 pertuduhan jenayah terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi sesuatu yang mengejutkan rakyat Malaysia dan perlu penjelasan Jabatan Peguam Negara.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata, mahkamah sebelum ini sudah menetapkan terdapat ‘prima facie’ selepas memanggil 99 saksi memberi keterangan kes berprofil tinggi itu.

“Pihak pendakwa raya juga memberikan 11 alasan untuk membuat permohonan (menghentikan pendakwaan) ini tetapi ia terlalu teknikal untuk difahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Jabatan Peguam Negara perlu menjalankan tanggungjawabnya bagi menjelaskan sepenuhnya dan berterus terang mengapa pihak pendakwaan mengambil keputusan itu dan bukan membiarkan perbicaraan diteruskan sehingga penghakiman terakhir,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim,  Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya,  Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Muhammad Mohan mendakwa kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara sudah tercalar dan ia hanya mampu dihakis dengan penjelasan yang jelas dan telus berkaitan keputusan itu.

Katanya, Jabatan Peguam Negara diingatkan, seandainya tidak ada pertuduhan baru yang diajukan, tertuduh dapat membuat permohonan pembebasan penuh dalam masa beberapa bulan kemudian.

“TI-M sekali lagi meminta kerajaan untuk mengkaji pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Umum memahami bahawa Peguam Negara bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan yang memerintah, sementara Pendakwa Raya pula mempunyai peranan untuk bertindak secara bebas dalam kes jenayah demi kepentingan umum untuk memastikan bahawa keadilan dituntut dan tindakan jenayah dihukum,” katanya.

Pertubuhan itu juga menegaskan jika Peguam Negara memiliki kedua fungsi ini di bawah satu individu akan menimbulkan kemungkinan konflik kepentingan.

Justeru, TI-M menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan reformasi institusi supaya dengan segera melakukan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau juga menjelaskan perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah persepsi masyarakat di dalam dan luar negara terhadap keputusan ini.

“Antara langkah yang digunakan dalam skor Indeks Persepsi Rasuah Global (CPI) adalah komitmen untuk memerangi rasuah dan pendakwaan yang sewajarnya terhadap pegawai yang menyalahgunakan kuasa.

“Sekiranya ada kes rasuah berprofil tinggi yang dalam perbicaraan telah diputuskan terutamanya setelah pihak pendakwa membuktikan ia kes prima facie, maka kemungkinan besar ini akan memberi kesan negatif terhadap skor CPI bagi negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment