KUALA LUMPUR 5 Sept. – DAP sudah ‘tiada lagi sempadan merah’ atau tidak berprinsip, susulan reaksi parti itu terhadap langkah pihak pendakwaan memohon melepas tanpa membebaskan Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan berkait Yayan Akalbudi di Mahkamah Tinggi, semalam.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang membuat dakwaan demikian berkata, DAP kini menurunkan tahap parti itu ke paras lebih teruk daripada yang dilemparkan pemimpinnya kepada MCA sebelum ini.
“(DAP) adalah ‘anjing’ suruhan yang membenarkan penyalahgunaan kuasa. Parti itu tidak kisah mengenai perkara berkenaan (kerana) 95 peratus pengundi kaum Cina akan terus menyokong mereka,” katanya menerusi Instagram, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata parti itu menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan keputusan tersebut.
Untuk rekod kontrak Idrus sebagai Peguam Negara tamat hari ini dan bakal digantikan Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang pelantikannya bakal berkuat kuasa esok.
Semalam, Hakim Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
Permohonan menghentikan semua prosiding itu dibuat ketika peringkat bela diri dengan 15 saksi sudah memberi keterangan setakat ini.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
