MUDA gerakkan kempen #DakwaZahid

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata MUDA menganggap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.

Bercakap pada sidang media hari ini, MUDA menuntut Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan di Parlimen mengenai keputusan terbabit selepas mahkamah sebelum ini memutuskan terdapatnya kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

MUDA juga menuntut supaya pengasingan kuasa Eksekutif Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan segera untuk memastikan tiada campur tangan eksekutif dalam mana-mana kes mahkamah.

Pada masa yang sama, MUDA juga menggesa pihak Pendakwa Raya untuk mendakwa semula Ahmad Zahid dengan segera dan bagi tujuan itu satu kempen #DakwaZahid akan diadakan termasuk protes melalui media sosial

MUDA mengambil pendirian itu susulan Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, pula mempersoalkan sama ada keputusan melepas tanpa membebaskan terhadap Ahmad Zahid akan dijadikan kes rujukan (precedence) bagi mana-mana ahli politik yang dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata, ia adalah suatu persoalan besar kerana kes ini adalah berprofil tinggi yang sudah berada di peringkat pembelaan, namun boleh dilepaskan.

Justeru MUDA juga mahu ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian mereka berhubung perkembangan ini kerana bagi MUDA, mereka bersama Kerajaan Perpaduan sebelum ini kerana percaya asas pentadbiran kini adalah bersungguh-sungguh untuk melawan rasuah.

“MUDA sebulat suara menganggap keputusan Jabatan Peguam Negara ini adalah isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini tidak benar-benar memperjuangkan isu salah laku.

“Jangan tolak keputusan ini ke atas beban mahkamah kerana ia bukan keputusan mahkamah, namun diambil Jabatan Peguam Negara dan jawapan perlu datang dari Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment