Perbarisan tarik perhatian 100,000 pengunjung

PUTRAJAYA 31 Ogos –  Lebih 100,000 pengunjung menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ada juga orang awam yang mula berkumpul selepas Maghrib semalam kerana teruja untuk melihat sendiri acara gilang-gemilang itu.

“Ada yang datang dari Kedah, Perak dan jauh lagi untuk melihat sendiri sambutan besar-besaran ini,” katanya pada sidang media selepas sambutan itu di Pusat Media di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada sambutan itu.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berpuas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan kemerdekaan negara tahun ini khususnya kelancaran persembahan tarian, perarakan, perbarisan dan pertunjukan udara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan tenaga dan idea dalam menjayakan perarakan sambutan bersejarah berkenaan.

Sambutan melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Fahmi mengajak seluruh rakyat Malaysia agar terus mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak.

Related posts

Leave a Comment