KUALA PILAH 24 Ogos – Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan bagi penggal ke-15 mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini, pagi ini.
Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Aminuddin Harun dari PKR yang kekal sebagai Menteri Besar, ADUN lain yang mengangkat sumpah adalah empat ADUN daripada UMNO, DAP (empat) dan PKR (dua).
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Simpang Pertang, Jalaluddin Alias, dilantik sebagai Exco kanan manakala tiga lagi ADUN adalah Ismail Lasim (Senaling), Mustapha Nagoor (Palong) dan Faizal Ramli (Linggi).
ADUN DAP pula membabitkan ADUN Bahau, Teo Kok Seong; ADUN Nilai, J Arul Kumar, ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dan ADUN Repah, S Veerapan.
Dua ADUN PKR membabitkan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Kuala Pilah) dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan).
Poffolio bagi setiap Exco akan dimuktamadkan pada mesyuarat Exco pertama di Wisma Negeri di Seremban, petang ini.
Pada PRN lalu, gabungan PH-BN menang 31 daripada 36 kerusi dipertandingkan dengan DAP menyapu bersih semua 11 kerusi ditandingi, UMNO 14, manakala PKR menang lima kerusi, dan Amanah satu kerusi.
