PM bukan anti-Kedah

BALING 5 Ogos – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan bersikap anti-Kedah apabila enggan bertemu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Beliau sebaliknya berusaha membawa pelaburan lebih besar kepada Kedah apabila firma Jerman, Infineon Technologies AG, bersetuju melabur lebih RM25 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech).

“Beritahu mereka, mahu tak mahu saya sekarang Perdana Menteri…kena bincang elok-elok.

“Ini mereka maki hari-hari, selepas itu cakap sudah tulis surat tiga kali kepada Anwar tetapi tak dijawab. Tak lapar saya nak jawab (surat), kena cakap elok-elok.

Ini belum buat apa-apa sudah umum, bila tak lulus marah pada Anthony (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke), marah pada saya, perkara ini ada cara dia,” katanya  pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Kedah di sini, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau cuba bersikap adil kepada semua negeri termasuk membawa lebih banyak pelaburan ke seluruh negara.

“Saya anti-Kedah? Saya bawa pelaburan RM25 bilion ke Kedah. Mereka beritahu Anwar benci Kedah, dia beri semua kepada Pulau Pinang. Saya juga beri kepada Johor, pada semua negeri, saya Perdana Menteri Malaysia.

“Untuk Kedah saya bawa Infenion yang setuju tambah pelaburan RM25 bilion, terbesar luar daripada Jerman. Di mana? Kulim. Negeri mana? Kedah.

“Sebab itu Kedah kena kalih bagi sama sebab kita boleh buat kerja. Jadi nak kata saya anti-Kedah perhati sama,” katanya.

Kelmarin, syarikat penyedia penyelesaian semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG mengumumkan sedia meningkatkan pelaburan RM25 bilion bagi kemudahannya di Kulim.

Related posts

Leave a Comment