BANGKOK: Hasrat pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat untuk menjadi Perdana Menteri baharu Thailand tidak kesampaian apabila Parlimen Dwidewan menolak pencalonan semula pada proses undian kedua hari ini.
Sebanyak 394 Ahli Parlimen menentang pencalonan semula Pita sebagai calon perdana menteri manakala 312 lagi menyokong, lapan berkecuali dan seorang
lagi tidak menggunakan hak untuk mengundi.
Seramai 715 ahli Parlimen mengundi secara elektronik berikutan perbahasan panjang mengenai isu itu bermula sejurus selepas persidangan pada 9.30 pagi.
Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata pencalonan semula Pita bagi jawatan perdana menteri ditolak dengan undian majoriti.
“Di bawah Perkara 41 Perlembagaan, Pita tidak sepatutnya dinamakan semula semasa persidangan parlimen ini,” katanya.
Bagaimanapun, tidak jelas bila sesi pengundian jawatan perdana menteri seterusnya akan diadakan.
Terdahulu, awal hari ini, Mahkamah Perlembagaan Thailand memerintahkan keanggotaan Pita sebagai Ahli Parlimen (MP) digantung sementara dan di Parlimen , Pita menerima perintah penggantungan itu.
Mahkamah itu menjelaskan akan mendakwa pemimpin MFP kerana dikaitkan dengan pegangan saham syarikat media, menyebabkan beliau tidak layak bertanding dalam pilihan raya umum pada 14 Mei lalu.
Pemimpin MFP itu mempunyai tempoh 15 hari untuk menjawab pertuduhan berkenaan.
Di Parlimen , Pita menerima perintah penggantungan itu dan beliau meninggalkan Parlimen pada 2:43 petang (waktu tempatan).
“Saya telah menerima dokumen daripada Mahkamah Perlembagaan untuk berhenti menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.
“Oleh itu, saya ingin memaklumkan kepada Yang di-Pertua bahawa saya mengakui dan mematuhi perintah itu sehingga keputusan dibuat. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Speaker dan rakan-rakan Ahli Parlimen sehingga kita bertemu lagi.
“Saya meminta rakan-rakan Ahli Parlimen untuk menjaga rakyat. Saya percaya Thailand telah berubah sejak Pilihan Raya Umum 14 Mei. Rakyat telah memenangi separuh daripada pertempuran dan masih ada separuh lagi untuk dilaksanakan.
“Walaupun saya tidak dapat meneruskan tugas saya, saya minta semua (Ahli Parlimen) menjaga rakyat dengan baik ,” katanya sebelum meninggalkan Dewan.
Pita menanggalkan kad MPnya dan meletakkannya di atas meja sebelum meninggalkan dewan.
Pada 13 Julai, Pita gagal mendapat sokongan lebih separuh daripada 749 anggota Parlimen dalam percubaan pertamanya apabila memperoleh 324 undi, manakala 182 undi menentangnya dan 199 berkecuali.
Pada Sabtu, Pita berkata beliau akan memberi laluan kepada Parti Pheu Thai jika gagal sekali lagi meraih sokongan yang diperlukan dalam undian kedua.
