Tunggu pengumuman 21 Julai

BANDAR BAHARU 16 Julai – Persoalan sama ada ketua pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan terjawab apabila senarai calon Perikatan Nasional (PN) diumumkan pada 21 Julai ini.

Menteri Besar yang juga Pengerusi PN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata senarai calon di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan beliau pada hari berkenaan.

“Boleh tunggu kesahihan pada 21 Julai, kita akan buat pengumuman calon PN Kedah… saya jemput semua hadir ke Batu 9, Kompleks Pas Kedah untuk mengetahui siapa dalam senarai calon PN Kedah.

“Takkan (kita) nak terus ‘jump’ pi ‘ending’, bagi ada thrill sikit, saya akan umum calon-calon… Pengerusi PN (Kedah) saya, (jadi) saya akan umum, yang pasti dalam senarai calon PN Kedah, (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Baddrol yang juga Ketua Pasukan Sabah FC disebut-sebut sebagai calon bagi kerusi DUN Gurun.

Beliau yang kini beraksi sebagai kapten bersama pasukan Liga Super Sabah FC, dilaporkan bakal mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional bagi menyertai politik tanah air.

Namun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai hala tuju bekas pemain kebangsaan itu.

Related posts

Leave a Comment