Kemenangan PN boleh beri tekanan

SHAH ALAM 8 Julai – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Selangor pada 12 Ogos depan boleh memberikan tekanan besar kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN),  Zuraida Kamaruddin, berkata kemenangan itu juga boleh menyebabkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi lebih berani untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sekarang.

“Kalau jatuhnya Selangor, ia akan melambangkan (Kerajaan) Persekutuan juga akan jatuh. Kalau (PN) Selangor menang, ramai lagi Ahli Parlimen berani untuk menunjukkan tidak kepercayaan kepada kerajaan (Kerajaan Perpaduan) yang ada.

“Oleh itu, saya minta mereka (pucuk pimpinan PN) terbuka letak calon hebat-hebat, apabila diumumkan (baru) rakyat rasa barisan pimpinan itu berkredibiliti, berpengalaman dan mampu buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Bangsa di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini. Program berkenaan turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad.

Zuraida yang menyokong PN mengesahkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada PRN kali ini.

“Saya tidak bertanding (PRN), saya sokong PN kerana saya tengok kerajaan sekarang ini cacamarba, menyokong kleptokrasi dan fahaman liberal.

“Kita tak boleh biarkan hal ini dan ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan negara, sebab itu penting beri sokongan kepada PN,” katanya yang bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

Related posts

Leave a Comment