Siasatan kekecohan di KLIA belum selesai

PUTRAJAYA 8 Julai-  Siasatan berhubung tuduhan rasuah dalam kes kekecohan membabitkan dua wanita warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu, masih belum selesai.

Justeru Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Azam Baki berkata, tidak wajar mana-mana pihak merumuskan kes itu yang baru berjalan kira-kira enam hari tiada unsur rasuah.

Beliau seperti dilaporkan BH hari ini menyelar laporan media yang mendakwa tiada unsur rasuah ditemui dalam kes itu sedangkan siasatan masih berjalan.

“Saya ingin mengatakan siasatan masih dijalankan, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi kerana ada yang mengandaikan tiada elemen rasuah sedangkan siasatan masih belum selesai.

Siasatan baru saja dijalankan dalam tempoh lima hingga enam hari, jadi munasabahkah enam hari kita boleh selesaikan siasatan? Berhati-hatilah dalam membuat kenyataan walaupun merujuk sumber,” katanya kepada BH.

Azam berkata, semua pihak termasuk pihak media tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian berhubung kes itu tanpa maklumat yang sahih dan tepat daripada pihaknya

“Selama ini media tanya saya, tetapi tiba-tiba tidak tahu ‘budak’ mana yang media tanya, lepas itu dia kata tiada kes.

“Siapa ‘budak’ itu? Jangan pandai-pandai kerana seolah-olah SPRM sudah tarik ‘handbrake’. Saya ingin menegaskan bahawa siasatan masih berjalan,” katanya.

Azam berkata, SPRM akan memanggil beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung kes itu dengan proses siasatan dijangka hanya dapat dilengkapkan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, terdapat banyak proses perlu dijalankan merangkumi pelbagai sudut sebelum siasatan dilengkapkan dan kes boleh dirumuskan.

“Pertama, elemen rasuah yang perlu kita lihat dan dibuktikan seperti mana tohmahan dan keduanya, prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak berkuasa (Jabatan Imigresen).

“Ketiga, apa-apa peraturan yang perlu dikuatkuasakan di KLIA secara umum perlu dipatuhi mana-mana pihak di KLIA dalam menguruskan mereka yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini atau dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Azam turut mengesahkan syarikat yang dilantik menguruskan warga asing yang dikenakan NTL sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

Related posts

Leave a Comment