5 juta dijangka guna lebuh raya

SEPANG 28 Jun –  Lebih lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam sehingga Isnin ini.

“Jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan,” katanya selepas meninjau persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelang Hari Raya Aidiladha di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dan syarikat konsesi lebuh raya diarahkan mengambil langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik.

Menurut beliau lagi, syarikat konsesi diminta memastikan tiada kerja pembinaan dan penyelenggaraan membabitkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun sehingga Isnin ini.

Bagi membantu  pengguna merancang perjalanan, Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 juga disediakan.

PLUS pula akan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

Langkah lain termasuk meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan menempatkan petugas untuk membantu pengguna yang bermasalah.

Nanta berkata, pihaknya juga akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

Related posts

Leave a Comment