KUALA LUMPUR 21 Jun – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa perangai laskar siber Pakatan Harapan (PH) menjadi satu liabiliti kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, tindak-tanduk ‘cybertrooper’ PH yang gemar menyebar berita palsu dengan tujuan menimbulkan persepsi menyebabkan masyarakat kurang senang dengan gabungan itu.
“Antara sebab saya dan sebahagian besar rakyat tidak berapa senang dengan PH adalah kerana perangai laskar siber PH.
“As much as (sebanyak mana) mereka fikir mereka (laskar siber) cuba membantu kerajaan sedia ada, tetapi sebenarnya mereka adalah liabiliti kepada Perdana Menteri,” katanya ketika bercakap pada podcast ‘Keluar Sekejap’ hari ini.
Sementara itu, Khairy menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Presiden Bersatu, selain dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.
“Banyak spekulasi dan banyak juga yang membuat pengumuman bagi pihak saya, termasuk pihak laskar siber PH. (Mereka) menyebarkan berita palsu kononnya saya dilantik sebagai Timbalan Presiden (Lantikan) Bersatu dan diberi kerusi (DUN) Kota Damansara.
Pastinya ini akan memberikan persepsi dan selepas itu akan terima banyak komen.
“Modus operandi mereka mudah iaitu mencipta berita palsu dan disebarkan hingga mendapat komentar yang membentuk persepsi. Janganlah sebarkan berita palsu kerana ia tak beretika dalam politik,” katanya.
Sementara itu, Khairy mengakui sudah mempunyai jawapan berhubung pelawaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti tersebut.
“Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah,” katanya,
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mengenai jawapan diberikan kepada Muhyiddin meskipun ia kelihatan menjurus ke arah menolak pelawaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
“Saya fikir lagi (pelawaan dibuat Muhyiddin)…saya pun sudah bersetuju untuk berfikir lagi dan saya pun minta beliau (beri) sedikit masa. Bagi saya ada (jawapan muktamad mengenai pelawaan itu sudah ada) tetapi beliau (Muhyiddin) minta supaya saya berfikir lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) pun belum dibubarkan, jadi ada sedikit masa lagi untuk apa-apa berlaku,” katanya.
Khairy sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang dikatakan berlangsung di Damansara, di sini, kelmarin.
