4 tonggak, 15 strategi Kertas Putih Kesihatan

KUALA LUMPUR 15 Jun – Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengusulkan empat tonggak dan 15 strategi utama untuk mereformasi sistem kesihatan negara secara sistematik dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, yang membentangkan kertas putih itu berkata,  tonggak dan strategi reformasi dalam kertas putih itu adalah berpandukan pada lima aspirasi kesihatan yang dimahukan rakyat.

Katanya, ia adalah hasil libat urus kementerian bersama 847 agensi dan 7,729 wakil antara Mac tahun lalu hingga bulan ini.

Menurut Dr Zaliha, libat urus itu mendapati aspirasi rakyat menjurus kepada mewujudkan sebuah negara yang sihat, memiliki sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat serta berdaya tahan, ekosistem kesihatan yang terbuka dan inovatif dan sistem kesihatan yang dihargai dan dibanggakan.

Daripada aspirasi itu, katanya, empat tonggak yang digariskan adalah mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan; mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit; memastikan pembiayaan yang mampan dan saksama; serta memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan serta tadbir urus.

Antara impak yang akan diperoleh hasil reformasi sistem kesihatan ini adalah peningkatan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama, memantapkan perlindungan sosial dan perlindungan risiko kewangan dan memastikan sistem kesihatan negara yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Selain itu, ia menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta secara langsung memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Jika kertas putih ini diterima pakai oleh ahli Dewan yang mulia ini, strategi dalam Kertas Putih Kesihatan akan segera diperincikan dan pelan implementasi akan dibangunkan supaya usaha yang penting dan kritikal ini tidak dilengahkan lagi demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Dr Zaliha memaklumkan dokumen setebal 57 halaman itu memperincikan beberapa cabaran utama dihadapi sektor kesihatan negara, antaranya peningkatan penyakit berjangkit dan beban penyakit kronik, insiden kanser di Malaysia serta prevalen masalah kesihatan mental penduduk berusia 16 tahun ke atas yang semakin melarat.

Selain itu, katanya, cabaran lain termasuklah peningkatan kadar penuaan populasi, kesesakan di klinik dan hospital kerajaan, pengagihan perkhidmatan dan sumber kesihatan tidak seimbang, fasiliti kesihatan dan peralatan di sektor awam yang uzur, serta peruntukan pembiayaan kesihatan di sektor awam masih di tahap rendah.

“Demi negara dan rakyat, reformasi ini perlu dilaksanakan dengan segera supaya sistem kesihatan lebih mampan dan dapat bersedia menghadapi cabaran harian dan keperluan penduduk semasa dan masa hadapan.

“Sistem kesihatan yang responsif dan cekap adalah penting dalam memupuk keharmonian masyarakat, kesejahteraan penduduk dan sosioekonomi Malaysia.

“Rakyat yang sihat dan produktif adalah kritikal untuk menentukan masa depan negara dengan menyerlahkan potensi modal insan sebagai pemacu pembangunan negara selaras dengan ikhtiar Malaysia Madani,” katanya.

Related posts

Leave a Comment