Tuntutan bertindih 3 kerusi DUN Selangor

GOMBAK 11 Jun – Kedudukan tiga kerusi bertindih yang menjadi tuntutan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor akan diputuskan pimpinan peringkat pusat, kata Pengerusi PH negeri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kedua-dua pihak tidak dapat menyatakan persetujuan bagi tiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu walaupun sudah berusaha menyelesaikan rundingan berkenaan di peringkat negeri.

Menteri Besar Selangor, itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama tiga kerusi DUN berkenaan serta nisbah agihan kerusi keseluruhan atas alasan ia belum dimuktamadkan dan mahu mengelak salah faham.

“Terdapat tuntutan bertindih daripada pihak PH dan BN. Ada perselisihan antara dua gabungan ini dan sasaran kami adalah memastikan pertembungan satu lawan satu di semua kerusi.

Sekarang, kami serahkan soal membabitkan ketiga-tiga kerusi ini kepada pimpinan pusat untuk berbincang dan membuat keputusan,” katanya selepas melancarkan sambutan Hari Belia Negara (HBN) Selangor 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Amirudin menegaskan isu membabitkan rundingan agihan kerusi perlu diselesaikan segera, menjelang tarikh akhir hujung bulan ini yang ditetapkan parti.

Setakat ini, rundingan agihan kerusi berkenaan sudah mencapai 95 peratus dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif, sejak ia bermula kira-kira tiga bulan lalu.

Beliau menjangkakan ada perkembangan baharu selepas Khamis atau Jumaat ini, selepas 53 kerusi DUN telah diputuskan.

Ditanya berkenaan tarikh pembubaran DUN Selangor, Amirudin enggan mengulas secara terperinci dan hanya memaklumkan ‘satu tarikh dalam Jun’.

DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini dan pilihan raya di negeri itu perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berkenaan. Keenam-enam negeri dijangka mengadakan PRN secara serentak.

Related posts

Leave a Comment