BANGKOK: Calon utama Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat, mendedahkan bahawa beliau sudah memindahkan sahamnya dalam firma media Thailand yang tidak lagi beroperasi, iTV Plc kepada pewaris lain.
Pemimpin Parti Move Forward itu mengambil langkah tersebut sebagai usaha mengatasi sebarang halangan untuk menjadi perdana menteri dan bersedia melawan kes saham media yang ‘bermotif politik’.
Pita, 42, menjadi calon utama sebagai perdana menteri selepas parti beliau mencipta kemenangan mengejut dalam Pilihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei.
Sebelum pilihan raya, Ruangkrai Leekitwatana, calon Parti List Palang Pracharath, meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) menyiasat kelayakan Pita kerana perlembagaan Thailand melarang individu yang memiliki saham dalam syarikat media daripada bertanding dalam pilihan raya.
Bagaimanapun Pita menjelaskan, saham-saham dalam iTV Plc didaftarkan atas namanya kerana mahkamah melantik beliau mewakili pewaris lain selepas kematian bapanya pada 2006.
Beliau menyatakan, iTV tidak lagi beroperasi pada 2007 dan kemudian dikeluarkan daripada Bursa Saham Thailand pada 2014.
“Sementara menghadapi pelbagai tohmahan, saya memutuskan untuk berbincang dengan pewaris lain yang mengamanahkan saya memegang saham iTV yang diwarisi daripada bapa saya bagi pihak mereka.
Kami memutuskan untuk memindahkan saham-saham kepada pewaris lain bagi mengelakkan sebarang komplikasi semasa proses pemulihan iTV yang sedang berjalan,” katanya di Facebook.
Parti Move Forward yang memenangi 151 kerusi dan meraih lebih 14.2 juta undi, bergabung dengan tujuh parti lain bagi membentuk gabungan dengan 313 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat.
Bagaimanapun jumlah kerusi itu belum menjamin gabungan kuasa yang dipimpin oleh Parti Move Forward akan membentuk kerajaan kerana perlu memperoleh 64 undi lagi.
Pita berdepan laluan sukar berikutan 250 senator yang dilantik oleh kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha sebelum ini juga mempunyai pengaruh dalam menentukan perdana menteri.
Semua ahli senator berkenaan cenderung menyokong parti yang berkaitan dengan tentera.
