KUALA NERUS 2 Jun – Bekas Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Razif Abd Rahman diumumkan sebagai calon pertama mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir. yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon Pas dan PKR dengan majoriti 1,884 undi.
Pengerusi UMNO negeri, Dr Ahmad Said, mengumumkan calon itu, pada majlis pelancaran Jentera PRN peringkat Bahagian Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal, berkata UMNO negeri berkeyakinan tinggi bahawa Ahmad Razif mampu mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir yang disandangnya sejak 2008.
Sementara itu, Ahmad Razif menganggap mandat dan kepercayaan diberikan pucuk pimpinan parti untuk terus mengekalkan DUN Seberang Takir sebagai satu cabaran.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama diberikan semua jentera termasuk jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus akan digalas untuk memastikan bukan hanya mengekalkan DUN Seberang Takir, malah merampas semula tiga DUN lain iaitu Tepuh, Buluh Gading dan Bukit Tunggal yang dikuasai Pas.
“Untuk mengekalkan kemenangan bukannya satu perkara mudah, terutama selepas mendapati keputusan di peringkat Parlimen tidak memihak kepada calon BN pada PRU15 pada November lalu,” katanya.
BN negeri sebelum inu mencadangkan 10 Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) dikekalkan untuk bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.
Selain Ahmad Razif, ADUN BN yang lain adalah Rozi Mamat (Telemong), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Sabri Mohd Noor (Langkap), Nawi Mohamad (Hulu Besut), Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Tengku Zaihan Che Abd Rahman (Kuala Besut), Dr Ahmad Said (Kijal) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
