Tawaran kepada Pas selepas PRU15

KUALA TERENGGANU: Tawaran kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, bukan baru-baru ini, demikian penjelasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang datang dan menghubunginya untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, November lalu.

“(Tawaran sertai kerajaan dibuat) selepas pilihan raya. Yang terbaru tak adalah,” katanya selepas perasmian Program Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 di Dewan Taman Tamadun Islam hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, selepas mengambil kira beberapa perkara, Pas membuat keputusan menolak tawaran itu selepas melihat gabungan yang mahu dibentuk agak lemah.

Katanya, gabungan yang mahu dibuat ini tidak sesuai untuk masyarakat di negara ini yang majoriti adalah orang Islam dan sebab itu Pas menolaknya.

“Bagaimana mahu memimpin negara jika parti didominasi bukan Islam. Walaupun DAP tidak jadi menteri, tapi mereka di belakang menteri, …jika mereka tidak jadi EXCO, dia di belakang EXCO,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas akan terus memperkukuhkan gabungan bersama Perikatan Nasional dan menolak untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa ada beberapa ‘individu tertentu’ menghubungi mengajak berjumpa untuk menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Hadi mendakwa, tawaran itu muncul kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menepis dakwaan kononnya ada tawaran kepada Pas manakala Anwar Ibrahim turut menafikan bahawa dia atau mana-mana pimpinan kerajaan ada membuat tawaran seumpama itu.

Dalam perkembangan lain, Hadi berkata, Perikatan Nasional (PN) yakin rakyat akan terus memilih dan memberi kemenangan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Related posts

Leave a Comment