Melayu PH Melayu mudah lupa

MARANG 1 Jun – Orang Melayu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) adalah Melayu yang mudah lupa, termasuk para pemimpinnya, kata Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Katanya, banyak kenyataan mereka yang terdahulu dilupakan, terbukti nyata dan benar sekiranya merujuk kepada kenyataan awal mereka sebelum menjadi kerajaan dan selepas menjadi kerajaan.

Beliau berkata, antara yang terawal ialah kenyataan bersemangat  “No DAP! No Anwar!” yang dilaungkan oleh pemimpin UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), berulang kali di hadapan para perwakilan dari seluruh negara.

“Kini, pemimpin UMNO pula bersekongkol dengan mereka yang dilaungkan itu dengan penuh mesra dan akrab, malah membuat kenyataan untuk bersama dalam pilihan raya negeri (PRN) sehingga membelakangi dasar dan perjuangan parti.

Adapun kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berdegar-degar dengan laungan “Reformasi!” dan berjuang ingin menghapuskan rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme, dan lain-lain. Rupa-rupanya, itu laksana lakonan semata-mata.

Tiba-tiba, PKR pun bersekongkol dengan kelompok yang mengamalkan kronisme, nepotisme, dan banduan yang telah dihukum serta kluster mahkamah bagi mencukupkan jumlah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya melalui Minda Presiden Pas.

Beliau mendakwa, mereka melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan, bahawa pelantikan bermula daripada Yang di-Pertuan Agong sehinggalah para jemaah menteri dan ketua jabatan mestilah dalam kalangan mereka yang bersih.

Katanya, banyak janji kepada rakyat sebelum pilihan raya ditaburkan sama ada secara tulisan ataupun ucapan lidah yang tidak bertulang.

“Janji mudah itu adalah seperti menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya menjadi kerajaan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, dan banyak lagi.

Selepas berjaya mengambil alih kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semua janji dan ucapan itu tenggelam dimakan masa. Melayu yang mudah lupa bersamanya terus menyambung perjuangan yang sama,” katanya.

Menurut Hadi, perbuatan buruk itu berkekalan sehinggalah mereka mengambil alih kerajaan selepas PRU-15 dengan sokongan Melayu mudah lupa juga dan keadaan yang sama terus berulang dengan kenyataan-kenyataan yang dinafikan kemudiannya.

Katanya , timbul kenyataan bahawa mereka mengajak Pas untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan yang mereka pimpin, tanpa menghormati bahawa Perikatan Nasional (PN) didominasi oleh Melayu Islam Bumiputera dengan 74 kerusi.

PH didominasi oleh bukan Islam, dengan kalangan liberal PKR 30 kerusi (19 Melayu Islam dan Islam liberal manakala 11 orang bukan Melayu dan bukan Islam), bersama DAP sebanyak 40 kerusi dengan tiga orang daripadanya adalah Melayu.

“Selepas itu, mereka menghantar broker untuk memujuk sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. PN khususnya Pas menolak semua tawaran dan menolak segala janji yang tidak boleh dipercayai, kerana Pas ialah Melayu yang tidak lupa,” katanya.

Abdul Hadi juga menarik perhatian bahawa, mengikut hukum Islam, pelantikan jawatan penting dalam kerajaan seperti hakim sehinggalah ketua negara adalah wajib bersifat adil (tidak fasiq).

Katanya, termasuk dalam sifat fasiq itu adalah berbohong dan dalam hal ini,

penganut Islam tidak boleh menyokong pembohong, bahkan bukan Islam yang bermaruah juga sama-sama tidak boleh menyokong pembohong.

Related posts

Leave a Comment