Sesi persekolahan kembali pada Januari mulai 2026

KUALA LUMPUR 23 Mei – Sesi persekolahan baharu yang bermula setiap Januari akan kembali seperti biasa mulai 2026, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

Sebelum ini, susulan pandemik Covid-19, sesi persekolahan bermula pada Mac sejak tahun lalu

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) mengenai bila sesi persekolahan baharu akan kembali dimulakan pada Januari.

KPM sebelum ini memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, tetapi memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022, menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.

Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan.

“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” katanya.

Katanya, KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

Related posts

Leave a Comment