KUALA LUMPUR 10 Mei – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bekalan air di seluruh negara masih terkawal setakat hari ini, berikutan paras empangan dan sungai melebihi 90 peratus di kebanyakan negeri.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, SPAN berkata, beberapa kawasan pada hujung rangkaian sistem bekalan air terkesan akibat situasi panas berpanjangan iaitu di Kelantan dan negeri utara.
Bagi Perlis dan Kedah, paras empangan di kedua-dua negeri masih stabil dan terkawal manakala di Pulau Pinang, pengurangan paras empangan direkodkan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
“Paras semasa Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk tempoh 40 hari (paras empangan semasa – 41.5 peratus), manakala Empangan Teluk Bahang untuk tempoh 145 hari (48.4 peratus) susulan cuaca panas ketika ini,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, bekalan air kepada pengguna di negeri berkenaan tidak terjejas setakat hari ini dan masih disalur sebagaimana biasa.
“Paras Empangan Mengkuang yang membekalkan sumber air mentah ke LRA Sungai Dua masih stabil,” kata kenyataan itu.
LRA Sungai Dua berupaya membekalkan secara purata pengeluaran sebanyak 1,200 juta liter sehari bagi menampung keperluan anggaran 40 peratus agihan ke bahagian pulau dan selebihnya ke Seberang Perai.
“Kawasan di hujung rangkaian bekalan air dijangka mengalami masalah tekanan rendah,” katanya.
Bagi perkhidmatan di Terengganu, Kelantan dan Pahang, semua empangan dan sungai berada pada paras stabil dan Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi dengan kapasiti normal kecuali LRA Kelar di Kelantan yang menurun disebabkan penyusutan sumber air mentah.
Bagi wilayah selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka), semua empangan dan sungai di ketiga-tiga negeri stabil dan semua LRA dapat beroperasi dengan kapasiti normal.
Perak juga menunjukkan paras empangan dan agihan bekalan air stabil dan terkawal manakala situasi stabil juga direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
SPAN bagaimanapun menasihatkan orang ramai terus menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran dan secara tidak langsung dapat menjamin bekalan berterusan di premis masing-masing.
(Foto PBAPP)
