KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa yang dipecat daripada parti itu sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
Perkembangan itu menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Noh Omar mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).
“Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai PAS dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai PN (Perikatan Nasional),” kata Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.
Beliau berkata, hasrat Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh serta bekas pemimpin UMNO lain yang mahu menyertai PN akan disusuli perbincangan lanjut.
“Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka (bekas pemimpin UMNO) itu, kita dalam proses untuk selaraskan kemasukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Annuar sebelum ini menafikan sudah bersara dari arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini tetapi berahsia mengenai parti mana akan disertainya, sekadar menegaskan akan memilih parti ‘berhaluan baik’.
Ditanya jumlah bekas pemimpin UMNO yang didakwa berhasrat menyertai PN, Takiyuddin berkata, ia membabitkan lebih 20 bekas pemimpin parti berkenaan, termasuk Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN).
“Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada PAS atau BERSATU. Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO, termasuk Khairy Jamaluddin,” katanya.
Sama ada bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai PN akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takiyuddin menjelaskan, ia bergantung pada keadaan.
“Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti,” katanya.
Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, beliau memaklumkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ada memberi maklum balas.
“Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan UMNO dan PH. Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita,” katanya.
