GENEVA: Hanya 16 peratus kemudahan kesihatan masih beroperasi di ibu kota Khartoum yang sedang bergolak berikutan pertempuran yang berlaku antara tentera Sudan dengan cabang separa tentera.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, berikutan itu, WHO menjangkakan lebih banyak kematian akan berlaku di Sudan.
Ini disebabkan oleh penularan penyakit dan kurangnya akses kepada perkhidmatan kesihatan yang penting.
Sekurang-kurangnya 459 orang terbunuh dan 4,000 cedera dalam konflik bersenjata yang tercetus sejak pertengahan April lalu.
WHO menganggarkan bahawa 25 peratus daripada nyawa yang terkorban setakat ini, akan dapat diselamatkan jika terdapat akses kepada khidmat kesihatan asas.
Namun, anggota paramedik, jururawat dan doktor tidak dapat akses kepada mereka yang cedera, dan orang awam pula tidak dapat mengakses khidmat kesihatan.
WHO juga menjalankan penilaian risiko bagi menentukan sama ada rampasan sebuah makmal di Khartoum yang menyimpan patogen virus menimbulkan risiko kepada kesihatan awam.
Sebelum ini, WHO menyatakan makmal berkenaan dirampas oleh salah satu pasukan tentera yang terbabit dalam konflik tersebut.
Namun, risiko utama kepada penduduk Sudan adalah ketiadaan bekalan air bersih dan vaksin serta isu-isu kebersihan yang lain.
