Terus tekan hentikan kekejaman Israel

KUALA LUMPUR 8 April – Malaysia perlu terus berusaha menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya campur tangan menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia tidak boleh berdiam diri susulan tindakan keji tentera Israel yang beberapa kali menceroboh pekarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid al-Aqsa.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas sejak beberapa hari lalu,  lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada Ramadan.

Katanya, perbuatan biadab rejim itu juga hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L 32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

“Serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Barat dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada Ramadan pada 2021 dan 2022 dan peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ketegangan di antara Israel dan Palestin mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini. Adalah wajar PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.

“Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment