Barisan Exco baharu dalam 48 jam

AYER KEROH 31 Mac – Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)  Melaka akan dibuat dalam tempoh 48 jam bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak tergendala, kata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang baharu dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13 hari ini berkata, pelantikan baharu itu tidak akan mengambil masa sehingga seminggu atau dua minggu tetapi dalam tempoh yang singkat.

Mengenai komposisi Exco itu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan panduan.

“Saya akan merujuk kepada Presiden (UMNO) saya dulu bagi memastikan apakah hala tujunya. Kemudian saya akan mengambil petua tersebut untuk merangka barisan EXCO kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini selepas upacara angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Ditanya adakah beliau akan mengadakan rundingan dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri, Ab Rauf berkata perkara itu belum dapat dipastikan sebaliknya akan merujuk pucuk pimpinan BN dan UMNO terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan, barisan Exco sebelum ini di bawah pentadbiran Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Ke-12 secara automatiknya terbubar.

Mengulas dakwaan bahawa perubahan Ketua Menteri menggambarkan berlaku kemelut dalam UMNO, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka menegaskan politik negeri ini paling stabil berbanding dengan negeri lain.

“Sebenarnya politik dalam Malaysia di Melaka yang paling stabil. Serius. Kalau kita tak stabil, (bagaimana) PRN hari itu kita boleh menang sampai 21 kerusi?

“Tetapi atas sifat-sifat kita ini macam laki bini (suami isteri) bergaduh. Jadi gembar-gembur di media sosial nampak tak baik. Tetapi saya nampak selepas pemilihan UMNO baru-baru ini, saya nampak kedudukan itu lebih baik berbanding dahulu. Dulu baik tetapi sekarang lebih baik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment