Rauf angkat sumpah KM Melaka ke-13

MELAKA 31 Mac –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara,  Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Sri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Istiadat yang berlangsung kira-kira pukul 3.33 petang itu menyaksikan Ab Rauf menandatangani Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Zaidi Johari dan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Anselm Charles Fernandis.

Pelantikan Abu Rauf bagi menggantikan Sulaiman Md Ali yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas. Ia sekali gus menamatkan pergolakan dalaman yang didakwa berlaku sejak Sulaiman menjawat jawatan tersebut.

Ab Rauf 62, pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka menggantikan Omar Jaafar setelah Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran Kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Adly Zahari selaku Ketua Menteri ketika itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka telah dicadangkan oleh UMNO sebelum ini sebagai Ketua Menteri baharu dan telah disampaikan kepada Mohd Ali menerusi warkah yang turut memaklumkan peletakan jawatan Sulaiman Md Ali.

Beliau buat pertama kali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 dan menang mengatasi calon Perikatan Nasional (PN),  Mas Ermieyati Samsuddin serta calon PH, Zainal Hasan.

Rauf menang selepas memperoleh 3,559 undi mengatasi pencabar terdekat iaitu Mas Ermieyati yang memperoleh 3,195 undi.

Related posts

Leave a Comment