UMNO cadang Rauf KM Melaka Ke-13

KUALA LUMPUR 30 Mac –  Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan parti itu sudah menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO sudah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, untuk menerima peletakan jawatan  Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

“Saya sudah mengutuskan warkah kepada TYT Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri (Sulaiman) dan dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada Sulaiman memaklumkan sebab peletakan jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan masalah kesihatan.

Mengenai sama ada pelantikan barisan EXCO baharu, akan membabitkan wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang sama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan UMNO mengambil semangat Kerajaan Perpaduan yang berjalan dengan baik di peringkat nasional.

Related posts

Leave a Comment