9 ketua bahagian Kedah kekal, 6 muka baharu

ALOR SETAR 19 Mac – UMNO bahagian Sik mendapat ketua baharu apabila Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menang tipis dengan memperoleh 229 undi mengalahkan penyandangnya Datuk Mohd Tajuddin Abdullah yang mendapat 228 undi.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Ariffin Man, berkata pengiraan undi pemilihan UMNO Bahagian Sik itu terpaksa dilakukan tiga kali dan keputusan rasmi bahagian itu diumumkan hampir pukul 3 pagi.

“Bahagian terakhir yang mengumumkan keputusan rasmi ialah Sik, hampir jam 3 pagi hari ini kerana pengiraan semula dilakukan hampir tiga kali kerana majoriti satu undi untuk jawatan ketua bahagian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO negeri di sini, hari ini.

Ariffin berkata dua lagi calon, bekas Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman memperoleh enam undi dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid mendapat 43 undi.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan pemilihan di 15 bahagian di Kedah semalam berjalan lancar, kecuali pengiraan semula di bahagian Sik dan gangguan teknikal kecil di bahagian Merbok.

Di bahagian Merbok, Ariffin menjelaskan terdapat aduan berhubung pertindihan kertas undi bagi jawatan ketua bahagian berkenaan.

Katanya, dua kertas undi untuk jawatan ketua bahagian secara tidak sengaja dilekatkan bersama dalam satu set kertas undi.

“Oleh itu, jawatankuasa pemilihan bahagian memutuskan bahawa ia hanya isu teknikal kecil dan terus mengisytiharkan pemenang berdasarkan 11 undi majoriti yang sah.

“Calon yang kalah boleh mengemukakan aduannya kepada parti kemudian jika dia berasa tidak berpuas hati dengan keputusan rasmi,” katanya.

Katanya, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai pemenang selepas memperoleh 253 undi berbanding penyandangnya Annuar Ahmad memperoleh 242 undi.

Selain Khizry dan Shaiful, seorang lagi ketua bahagian baharu yang dipilih pada pemilihan parti semalam ialah anak bekas perdana menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib yang memenangi jawatan ketua bahagian Langkawi dengan majoriti 12 undi.

Dua lagi muka baharu dalam barisan ketua bahagian ialah Datuk Aminuddin Omar di Kubang Pasu dan Datuk Muthalib Harun di Kuala Kedah.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berjaya membuat penampilan semula dengan memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar manakala bekas Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid menang tanpa bertanding di  Bahagian Padang Terap.

Di Jerai, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengekalkan jawatannya selepas menang dalam pertandingan empat penjuru.

Tujuh lagi penyandang yang kekal dalam pertandingan adalah Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling); Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Datuk Othman Aziz (Jerlun); Datuk Said Ali Syed Rastan (Pokok Sena), Datuk Muhar Hussain (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Shahanim Yusof (Sungai Petani) dan Datuk Asmadi Abu Talib (Padang Serai).

Tiga kekosongan berlaku sebelum ini berikutan kematian Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Hashim Jahaya manakala Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail digantung parti sebelum ini. 

Difahamkan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Zaini Japar mengambil keputusan untuk tidak mempertahan jawatan tersebut atas faktor kesihatan. 

Related posts

Leave a Comment