Muhyiddin hadapi pertuduhan ketujuh

SHAH ALAM 13 Mac – Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Saya faham dan mengaku tidak bersalah,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri itu.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Ketika prosiding, Ahmad Akram memohon kes Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Muhyiddin ada menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, maka saya mohon kes di sini didengar secara bersama di mahkamah berkenaan.

“Saya juga mohon mengguna pakai jaminan seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai.

“Kes hari ini disebut semula pada 26 Mei ini iaitu tarikh sama seperti di Kuala Lumpur. Saya diberitahu pihak pembelaan tidak membantah permohonan ini,” katanya.

Kumaraendran kemudian mengesahkan tidak membantah permohonan terbabit.

“Kami ada bon jaminan (RM2 juta) di Mahkamah Kuala Lumpur dan mohon diguna pakai di Mahkamah Shah Alam,” katanya.

Hakim membenarkan permohonan dibuat pendakwaan termasuk sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Mei ini, namun menegaskan satu lagi bon jaminan perlu ditandatangani kerana nombor kes berlainan.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk partinya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, syarikat Nepturis Sdn Bhd, syarikat Mamfor Sdn Bhd dan Azman Yusoff.

Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang RM120 juta dan RM75 juta hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti.

Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Related posts

Leave a Comment