KWSP disaran wujud skim pinjaman khas

KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Gerakan mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mewujudkan skim pinjaman khas untuk ahlinya yang menghadapi masalah kewangan, kata Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau berkata, KWSP boleh mengenakan kadar faedah lebih rendah kepada peminjam dalam skim itu berbanding bank.

“Jika membuat pinjaman daripada bank, ia akan memberi lebih masalah kepada ahli KWSP kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KWSP dapat memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen termasuk kepada ahli yang membuat pinjaman.

Dengan cara ini, Dominic berpendapat wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan.

Beliau berkata kaedah yang dicadangkan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, supaya KWSP membenarkan caruman ahli dijadikan cagaran pinjaman bank sebagai tidak bijak kerana pengeluaran wang simpanan KWSP adalah hak ahli bukannnya hak kerajaan.

Jika pencarum menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah yang ditetapkan oleh bank.

“Ini boleh diumpama seperti membuat pinjaman dengan ceti haram. Kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank,” katanya.

Beliau berkata langkah itu juga akan menambahkan lagi beban kewangan rakyat kerana terpaksa bayar faedah pinjaman.

“Ini (cagaran wang KWSP) bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment