Bersiap hadapi segala kemungkinan

PUTRAJAYA 25 Mei – “Kita perlu membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan, jadi tolong bantu kami (Kementerian Kesihatan) untuk duduk di rumah,” itu peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berikutan trend peningkatan kes Covid-19.

Menurut beliau, sejak 1 April lalu, jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia mengikut trend pertumbuhan (eksponensial) yang dijangkakan dan ia mampu mencetus lonjakan kes sekiranya tidak dibendung.

“Kita perlu membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan, jadi tolong bantu kami (Kementerian Kesihatan) untuk duduk di rumah.

“Marilah bersama-sama untuk kita putuskan rantaian jangkitan ini. Mengabaikan fakta atau data (yang diberikan) ini tidak akan membantu dan ia bukanlah alasan untuk tidak duduk di rumah.

“Sekiranya mempunyai keperluan mendesak atau perlu hadir bekerja, sila patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam ciapan di Twitter, di sini hari ini.

Dalam ciapan berkenaan, Dr Noor Hisham turut berkongsi data peningkatan kes mengikut garis eksponensial iaitu lebih 6,000 kes Covid-19 dilaporkan pada 23 Mei lalu.

Hari ini, kes baharu Covid-19 terus melonjak kepada 7,289 kes dalam tempoh 24 jam, angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment