KUALA LUMPUR 3 Mac – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan perwakilan supaya memilih calon yang tepat, terbaik dalam kalangan calon yang ‘baik-baik’ dan mampu memberi khidmat bakti terbaik kepada parti.
Katanya, UMNO mahu satu pasukan yang kuat yang dapat bersama-sama membina semula kekuatan untuk menterjemahkan hala tuju, bangkit 2.0 kerana parti mahu terus relevan walaupun hanya sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Berucap pada majlis pengumuman calon pemilihan UMNO peringkat pusat di sini, beliau mahu pemilihan kali ini dapat membuktikan (kesepaduan) kepada pihak luar yang selama ini memandang seolah-olah UMNO berlainan kumpulan dan pemikiran.
“Jika mengenepikan perbezaan di kalangan kita, mengenepikan ‘kabilah-kabilah’ di kalangan kita dan yakin bahawa di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan serta Pilihan Raya Umum (PRU) lima tahun akan datang, Insya-Allah UMNO/BN akan relevan semula,” katanya.
Justeru beliau mahu siapa pun yang bertanding, mereka tidak ada kumpulan sebaliknya bertanding sebagai calon UMNO Malaysia.
“Saya sangat meraikan perbezaan pendapat, berlainan pandangan. Ini terbukti di dalam beberapa banyak Majlis Kerja Tertinggi yang dipengerusikan.
“Seperkara lagi, saya amat hormati pada (mesyuarat) majlis pimpinan tertinggi, biar perbezaan pandangan dan pendirian tetapi apabila Majlis Tertinggi buat keputusan, kita akur dan patuh pada keputusan dilakukan,” katanya
Ahmad Zahid juga menasihati mereka yang bertanding pada pemilihan parti bagi penggal 2023/2026 supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak calon hilang kelayakan dan kemenangan dibatalkan.
“Saya berpesan, Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) telah memberikan garis panduan. Saya tidak mahu pengurus kempen dan ejen menyebabkan kita (calon) kehilangan kelayakan sebagai calon atau jika kita (calon) menang, kemenangan kita dibatalkan disebabkan pengurus kempen.
“Berkempenlah dengan cara baik dan sebaik-baiknya mengikut garis panduan diberikan oleh pengerusi JPU. Mereka mempunyai pemantau di setiap bahagian dan setiap perjumpaan,” katanya.
Bagi calon yang tewas, beliau sempat menitip nasihat kepada mereka supaya tidak bermusuhan sesama sendiri.
“Saya harap kemenangan atau kekurangan undi tidak menjadi sebab kita bermusuhan antara calon-calon yang ada. Berkempenlah dengan cara sebaik-baiknya.
“Saya ucapkan selamat maju jaya dan mudah-mudahan Allah berikan restu kepada parti kita dan beri calon menang dengan parti kuat untuk teruskan perjuangan orang Melayu, demi agama kita dan negara kita Insya-Allah,” katanya.
Pemilihan UMNO akan berlangsung pada 18 Mac ini tetapi jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
