Kecaman program HIMPIT terikut Islamofobia?

AMPANG 23 Feb. – Pihak yang mengecam penggunaan replika senjata dan kostum tentera Islam ketika perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu seolah-olah terikut dengan Islamofobia.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang membuat dakwaan itu berkata, golongan terbabit juga sudah menggambarkan kedudukan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.

“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa. Umat Islam bawa pedang kayu tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra Satu Dekad Khidmat Malaysia di sini, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan yang cuba digambarkan pihak tertentu itu berikutan program HIMPIT 2023 Jumaat lalu sehingga mencetus polemik masyarakat.

“Malangnya ada orang yang terpengaruh seolah-olah Islam ini menakutkan. Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan apabila tular di media sosial jelas ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Susulan itu, Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, pihaknya merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat  Iskandar Abdul Samad menyarankan supaya pihak berkuasa mendakwa mereka yang cuba melaga-lagakan masyarakat dengan mempolitikkan perarakan memperingati warisan Islam itu.

Katanya, mana-mana pihak yang mendakwa kononnya perarakan itu untuk menggalakkan keganasan dan seolah-olah ditujukan kepada masyarakat bukan Islam telah melakukan satu tindakan yang sangat berbahaya kerana boleh menyemarakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan mereka juga boleh menyemai perasaan kebencian terhadap agama Islam dan perlu didakwa agar mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, perarakan tersebut adalah sekadar untuk memperingati warisan Islam dan amalan untuk memperingati warisan mana-mana budaya, bangsa atau agama adalah bukan satu perkara yang asing.

“Ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN dari tahun 2008 hingga 2018, saya kerap menyaksikan pertunjukan warisan pelbagai kaum atau budaya yang turut menggunakan senjata sama ada senjata yang betul atau replika.

Walau bagaimanapun saya tidak terasa terancam malah merasakan ia satu peluang untuk memahami warisan kaum-kaum dan budaya-budaya lain,” katanya.

Beliau mendakwa, terdapat pertunjukan-pertunjukan yang diadakan di tempat terbuka seperti perarakan warisan Islam itu tetapi ia tidak menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk tempatan dari kaum-kaum yang lain.

“Di dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia kita sepatutnya bersifat terbuka dan memahami di antara satu sama lain,” katanya.

(Foto fb Pas)

Related posts

Leave a Comment