PUTRAJAYA 19 Feb. – Kes jangkitan harian Covid-19 semalam merekodkan 212 termasuk satu kes import berbanding 241 yang dilaporkan kelmarin.
Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,040,821 kes iaitu 5,002,168 kes tempatan dan 38,653 kes import.
Menurut data portal KKMNow, satu kematian baharu dilaporkan semalam dan jumlah kematian kini 36,955 orang termasuk 7,872 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,306 berbanding 9,405 kelmarin berkurangan 99 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,968 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 332 pesakit atau 3.6 peratus mendapat rawatan di hospital, enam daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana tiga orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 310 lagi pesakit baharu dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,994,560 orang.
Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 69 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 57 kes.
