Korban gempa bumi lebih 45,000

ANTAKYA: Selepas 13 hari, jumlah korban gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 45,000 orang dan dijangka meningkat berikutan kira-kira 264,000 pangsapuri di Turkiye musnah dan masih ramai lagi hilang.

Menurut laporan media, angka kematian di Turkiye disahkan berjumlah 39,672, manakala di negara jiran Syria pula dilaporkan lebih 5,800 kematian selepas kedua-dua negara digegarkan dengan bencana itu pada 6 Februari lalu.

Walaupun kebanyakan pasukan penyelamat antarabangsa sudah meninggalkan zon gempa yang luas, pasukan tempatan masih meneruskan usaha mencari melalui bangunan yang runtuh, hari ini dengan harapan untuk menemui lebih banyak mangsa yang terselamat.

Menurut pakar, kebanyakan mangsa yang terselamat diselamatkan dalam tempoh 24 jam selepas gempa bumi.

Di negara jiran Syria, yang dilanda perang saudara selama lebih sedekad, sebahagian besar kematian berlaku di barat laut, kawasan yang dikawal oleh pemberontak yang berperang dengan Presiden Bashar Assad.

Konflik itu merumitkan usaha untuk membantu orang yang terjejas oleh gempa bumi.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pula melaporkan, kedua-dua pihak semalam bertempur buat pertama kali sejak bencana itu, dengan tentera kerajaan membedil pinggir Atareb, sebuah bandar yang dikuasai pemberontak yang dilanda gempa bumi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis lalu merayu lebih daripada AS$1 bilion (RM4.43 bilion) dana untuk operasi bantuan Turki, dan telah melancarkan rayuan AS$400 juta (RM1.7 bilion) untuk rakyat Syria.

(Foto FB MAPIM)

Related posts

Leave a Comment