PUTRAJAYA 7 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan semalam dengan merekodkan 175 kes termasuk satu kes import berbanding 211 yang dilaporkan kelmarin.
Menurut data portal KKMNow, setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,999,538 dan 38,632 kes import menjadikan jumlah keseluruhan 5,038,170.
Satu kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini 36,944 orang termasuk 7,871 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 10,053 kurang 22 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,659 kes atau 96.1 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 388 pesakit atau 3.9 peratus mendapat rawatan di hospital di mana enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di mana lima orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 196 pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih setakat semalam meningkat kepada 4,991,173 orang.
Sementara itu, kes harian di negeri-negeri berada di bawah 100 kes dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi 68 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 28.
Ini diikuti Kelantan (11), Pahang (10), Melaka (9), Pulau Pinang (8), Sabah (6), Sarawak (6), Wilayah Persekutuan Putrajaya (6), Johor (6), Kedah (7), Negeri Sembilan (5), Perak (5) manakala tiada kes baharu di Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.
