KUALA LUMPUR 31 Jan. – Buat kali kelima, Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 hari ini.
Jaguh berbasikal trek negara yang dikenali Pocket Rocketman itu pernah meraih gelaran berkenaan pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/20.
Beliau mengenepikan cabaran empat lagi calon iaitu juara badminton dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).
Kejayaan Azizulhasni itu adalah berpandukan pencapaiannya meraih pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, dan pastinya, anugerah berkenaan menjadi azimat untuknya mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam ucapannya, beliau bersyukur dan amat terharu kerana dipilih sebagai Olahragawan Negara buat kali kelima dalam kariernya.
“Saya ingin pastikan yang ini bukanlah kemenangan terakhir buat saya memandangkan saya akan bersara lepas Paris (Sukan Olimpik 2024) nanti kerana saya masih lagi dahagakan kejayaan untuk menaikkan martabat sukan negara.”, katanya.
Sementara itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan menjadi milik ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg – gelaran keempatnya selepas pernah meraih anugerah sama pada ASN 2011, 2012 dan 2015.
Pandelela membawa pulang emas pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo pada 2021 dan mengenepikan empat lagi calon lain iaitu Meilaura Dora Jimmy (bina badan), Rachel Arnold dan Aifa Azman (skuasy) dan Nur Amisha Azrilrizal (Muaythai).
“Saya rasa sangat gemuruh kerana ramai VIP (kenaman) hadir di anugerah ini. Tapi saya rasa gembira dan juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana menganjurkan ASN 2021.
“Terima kasih juga kerana memberikan penghargaan Olahragawati 2021 kepada saya. Bukan mudah menjadi seorang atlet dan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata Pandelela.
Sementara itu Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik Bonnie Bunyau Gustin yang meraih emas di Sukan Paralimpik Tokyo dalam acara powerlifting, manakala Brenda Anellia Larry sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mencipta impak di Pusat Akuatik Tokyo dengan mencatatkan rekod baru Asia bagi acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu di temasya empat tahun sekali itu.
Azizulhasni, Pandelela, Bonnie dan Brenda masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.
