ISTANBUL 5 Julai – Malaysia berhasrat untuk mempelbagaikan sumber makanan importnya, termasuk kemungkinan membeli tepung gandum dari Turkiye, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari, berkata aspek jaminan keselamatan makanan juga adalah antara komponen utama dalam beberapa siri pertemuan beliau dengan peneraju industri republik itu.
Katanya, selain memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye, beliau akan turut memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan dari negara itu selain mendapatkan sumber makanan seperti tepung gandum.
Pengeluaran gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik itu adalah pengeksport bersih komoditi berkenaan.
Satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia adalah dari Ukraine dan Russia tetapi konflik perang antara kedua-dua negara itu selain keputusan India mengurangkan eksport gandum, telah memberi tekanan hebat ke atas bekalan makanan itu
“Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia terus memberi subsidi bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama Keluarga Malaysia yang menetap atau menyambung pengajian di negara itu, termasuk beberapa penuntut yang melakukan perjalanan bas selama 23 jam dari Armenia untuk menemui perdana menteri.
Selepas majlis itu yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang, perdana menteri mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil daripada sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma Turkiye.
Ini termasuk OYAK, Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye (TUBITAK), Dana Kekayaan Turkiye (TWF), GAMA Enerji A S (GEAS), Tuyar, EMS MOBIL, FNSS, Istanbul Shipyard dan HAVELSAN.
Pada mesyuarat perniagaan terbabit, Ismail Sabri yang mengunjungi negara itu bagi memenuhi jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abdul Latiff Ahmad.
Sesi itu turut disertai oleh pihak serta syarikat dari Malaysia termasuk Khazanah Nasional Bhd (KNB), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Boustead Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan SilTerra.
Pada 28 Mac lalu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine akan mencetuskan krisis pertanian yang belum pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.
Ukraine dan Russia menghasilkan 30 peratus daripada bekalan gandum serta 20 peratus jagung di peringkat dunia.
Pada 2020, Malaysia mengimport gandum bernilai RM1.46 bilion dan menjadi pengimport ke-38 terbesar dunia bagi komoditi itu dan bahan makanan itu juga adalah produk ke-109 paling banyak diimport oleh negara itu.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia manakala selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.
