Bertemu Ketua Pengarah WHO

GENEVA 27 Mei – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr.Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva pagi ini.

Pelbagai isu kesihatan awam dibincangkan terutama tingkah laku untuk penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, NCD & CD, kawalan tembakau dan akses  tidak saksama kepada pembedahan yang selamat dan berpatutan.

Delegasi yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah itu kini  berada di Geneva bagi menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Sesi ke-75.

Kami membincangkan banyak isu kesihatan awam tetapi fokus terutamanya pada pandangan tingkah laku untuk NCD & CD, Kawalan Tembakau & akses tidak saksama kepada pembedahan yang selamat dan berpatutan.

Sementara itu Dr Tedros menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen dan sokongan berterusan terhadap sektor kesihatan.

Menerusi muat naik di laman Twitter, beliau turut menghargai kepemimpinan sektor kesihatan negara ini yang diterajui Khairy.

“Gembira bertemu Khairy Jamaluddin ketika WHA75. Saya berterima kasih kepadanya atas sokongan Malaysia untuk pembiayaan mampan WHO.

Dan juga atas kepemimpinan dalam memperhalusi kerja sektor kesihatan, usaha mengawal penggunaan tembakau di Malaysia dan memajukan pembedahan selamat,” katanya.

Tedros turut memuat naik gambar bersama Khairy dan Dr Noor Hisham Abdullah ketika menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) di Geneva, Switzerland.

WHA adalah badan pentadbir tertinggi WHO dan menjadi perhimpunan berkala yang dihadiri Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar dalam bidang kesihatan.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin secara rasmi dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden WHA.

Dengan pemilihan ini, Khairy Jamaluddin bersama empat lagi naib presiden akan mewakili rantau masing-masing di perhimpunan yang akan dihadiri oleh 194 negara anggota WHO setiap tahun.

 

Related posts

Leave a Comment