Pembesaran Pusat Pemeriksaan Woodlands

SINGAPURA 26 Mei – Tujuh blok kediaman terdiri daripada lebih 730 unit flat akan diambil semula bagi tujuan pembesaran Pusat Pemeriksaan Woodlands (Woodlands Checkpoint) yang merangkumi Pusat Bandar Woodlands Lama.

Pengambilan Blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane – akan diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran unit masing-masing.

Menjelang 2050, jumlah lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands akan meningkat hampir 40 peratus dan ini bermakna purata harian 400,000 pelawat akan merentas pusat pemeriksaan itu berbanding tahap sebelum pandemik.

Jika kapasiti pelepasan keseluruhan tidak dinaikkan, masa perjalanan untuk lalu lintas kenderaan boleh meningkat lebih 60 peratus hingga 70 peratus semasa tempoh waktu sibuk menjelang 2050.

Situasi ini dijelaskan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan HDB dalam satu kenyataan media.

Untuk memperluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands, blok-blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane – yang merupakan flat-flat dijual – akan diperoleh dan para pemilik akan diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran unit masing-masing.

Pemilik juga diberikan pilihan untuk membeli flat baru dengan tempoh pajakan baru selama 99 tahun pada harga bersubsidi.

Para penyewa di blok-blok 210 dan 211 – yang terdiri daripada flat-flat sewa, kiosk sewa, kedai sewa dan kedai makan sewa – juga akan menerima faedah perumahan semula serta faedah pelepasan.

Menurut pengarah projek dan pembangunan HDB, Ng Hwee Yian, penduduk dan penyewa harus berpindah keluar dari unit mereka selewat-lewatnya pada suku kedua 2028.

Mereka juga akan mendapat keutamaan bagi kira-kira 1,100 flat penggantian yang baru di Woodlands Street 13. Kerja pembinaan flat-flat tersebut akan bermula pada suku ketiga 2023 dan dianggarkan siap pada suku keempat 2027.

Pemilik bagi flat yang dijual di blok-blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane akan ditawarkan faedah perumahan semula sama seperti yang ditawarkan di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS).

Related posts

Leave a Comment