Bersatu teguh, muafakat berkat

SYUKUR dan Alhamdulillah. Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan. Ada yang berkata, terlalu awal untuk mengucapkan tahniah atas alasan Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen. Bagi mereka keputusan boleh berubah seperti mana yang pernah diucapkan Anwar Ibrahim “Kami berubah ikut hari”.

Bertenanglah. Adalah lebih baik semua pihak menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut ini. Semua orang tahu liku-liku yang dilalui. Baginda sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Tunjukkan hormat kepada baginda. Biar Muhyiddin angkat sumpah dan membentuk kerajaan.

Semoga keputusan hari ini ‘tidak berubah’ lagi. Begitu juga esok, lusa dan seterusnya sehinggalah andai ada perubahan yang ingin dilakukan biarlah secara tenang iaitu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tidak lama, lebih kurang tiga tahun lagi. Justeru beri ruang kepada Perdana Menteri (PM) Kelapan ini.

Andai terasa terlalu lama menunggu PRU-15, masih ada pilihan lain. Jika benar PH mempunyai angka yang telah mengatasi Muhyiddin, bawalah ke Dewan Rakyat pada 10 Mac ini. Buat usul undi tidak percaya. Bertindak secara beradab. Ikutlah peraturan jika rule of law dijunjung.

Rakyat Malaysia pastinya bersyukur kerana kemelut yang mengganggu kehidupan seharian mereka dapat diselesaikan walaupun ada suara-suara yang tidak berpuas hati. Pastinya akan ada kumpulan yang cuba merobek ‘kejayaan’ ini. Mungkin ada tawar menawar, lompat melompat dan sebagainya.

Menyelak kembali krisis yang berlaku, sebenarnya, ketika ahli politik bertungkus lumus ‘merebut’  jawatan PM, rakyat sudah letih dengan pertikaian yang tidak pernah selesai. Semakin hari semakin kusut akibat lagak orang politik bertaraf pemimpin sama ada secara langsung atau tidak langsung mengheret pelbagai pihak terjerumus dalam pertikaian mereka.

Isu ini bukan remeh. Banyak pihak terlibat. Dari rakyat di bawah yang ternanti-nanti penyelesaiannya sehinggalah ke institusi raja yang mencari jalan keluar kepada permasalahan yang ditimbulkan akibat rebutan ‘kuasa dan takhta’.

Dalam mencari penyelesaian krisis ini, rakyat tiba-tiba muak apabila pemimpin sering berubah pendirian. Hari ini cakap lain, esok cakap lain. Hari ini sokong Mahathir, esok sokong Anwar, lusa sokong Mahathir. Keadaan ini menyulitkan pihak berkenaan untuk mencari penyelesaian.

Kebanyakan pemimpin politik tidak mampu menetapkan pendirian yang tegas dalam menyelesaikan kemelut yang melanda. Rakyat tidak jelas apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran sesetengah orang politik ini. Sentiasa berubah. Bagaikan sesumpah.

Benarlah seperti kata Anwar yang juga Presiden Keadilan pada 27 Februari lalu selepas mesyuarat bersama pemimpin PH (PKR, DAP, Amanah sementara Parti Pribumi Bersatu telah keluar PH) di Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Mungkin ramai yang masih ingat jawapan Anwar apabila ditanya mengenai kemungkinan Bersatu akan menyertai semula PH selepas Dr. Mahathir kembali menjadi Pengerusi Bersatu. Anwar tidak menjawab dengan jelas tetapi berkata, “Kami berubah ikut hari”.

Begitulah permainan politik untuk mencari kuasa dan jawatan. Setiap hari sejak krisis bermula ada sahaja ‘perubahan’. Banyak masa berharga terbuang. Bukan setakat parti politik tetapi semua orang terheret dan diseret untuk sama-sama ‘mengikuti drama’ yang entah memasuki berapa episod bilangannya.

Cukuplah. Rakyat letih dengan ‘persembahan’ ini. Punca kekalutan, kekusutan, kesulitan atau perbalahan ini hanyalah kerana satu dua nama. Bermula daripada watak-watak utama ini, kemudian muncul watak-watak lain yang menghuru-harakan landskap politik negara.

Kesannya, pemimpin parti berpecah-belah, pemimpin tidak sehaluan dan ahli parti keliru dan bercelaru angkara perbuatan atau tindakan seorang dua insan. Majoriti yang terlibat adalah orang Melayu Islam.

Diharapkan semua pihak menerima pilihan yang dibuat oleh Istana Negara. Hentikan tindak tanduk yang memalukan. Buang sikap rakus, gelojoh, tamak dan sebagainya. Jangan lagi bermain kata-kata yang seolah-olah menggambarkan hanya perjuangan mereka yang benar-benar suci bersih.

Sekarang masa untuk bekerja. Semoga Muhyiddin diberi kesihatan dan kekuatan untuk mentadbir negara. Jangan ditenggelami oleh kejayaan dan pujian. Laluan masih berliku. Pihak yang tidak puas hati akan terus berperanan mengadu domba. Politik ini tidak sunyi daripada musuh kerana kawan boleh jadi lawan dan sebaliknya. Ingatlah, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau batu api tetap ada.

Biar hari berubah tetapi tekad perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tetap diutamakan. Biar apa pun nama parti yang diwakili, Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, kukuhkan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum. Selamat berjuang. Bersatu teguh, bercerai roboh, muafakat membawa berkat.

Related posts

Leave a Comment